Setiap warna itu memberi seribu erti kepada setiap orang..
dan warna yang sangat memberi erti kepada saya adalah UNGU!~

28.9.11

kek batik emak..~

   Entah mengapa, sejak dari pagi tadi, ingatan saya terhadap emak di kampung sangat kuat. semasa di dalam kuliah tadi, saya masih terfikirkan emak. tidak sabar rasanya ingin pulang ke kolej kediaman untuk menelefon emak. kuliah saya berakhir paa pukul 7 petang hari ini. lalu, selepas solat maghrib terus sahaja saya membuat panggilan ke telefon bimbit emak.
  
  "mak..rindu.."
  
  Sebaik sahaja menjawab salam emak, itulah ayat pertama yang keluar dari mulut saya. dan terdengar emak seperti tertawa kecil mendengar kata-kata saya tadi. hampir satu jam juga saya berbual dengan emak dan adakala kakak dan adik saya turut menyampuk perbualan kami anak beranak.
   
 Semasa berbual dengan emak di telefon tadi, emak baru sahaja selesai membuat kek batik. kata emak, esok pak su (adik bongsu emak) akan bertandang ke rumah bersama isteri dan anaknya. hurmm...begitulah emak, ada saja hidangan yang disediakan sekiranya tahu ada tetamu yang akan datang ke rumah.
  
 Dan saya yang mendengar cerita emak tentang kek batik itu terus sahaja menelan air liur. tiba-tiba keinginan untuk menikmati kek batik air tangan emak membuak-buak.

   Sebenarnya saya juga tahu cara-cara membuat kek batik kerana semenjak saya di tingkatan 5 lagi, emak sudah menurunkan "ilmu kek batiknya" kepada saya. di sini pun, saya memang boleh menyediakan kek batik sendiri kerana caranya mudah dan tidak memerlukan ketuhar. tetapi saya tetap rindukan kek batik emak..


jika saya membeli kek batik di sini pun, ternyata kek batik emak lebih sedap :)

    Insyaallah jika ada kelapangan nanti saya akan cuba menghasilkan kek batik untuk kawan-kawan semua. saya kira resipi kek batik adalah resipi yang paling mudah dan cepat. sesuai untuk pelajar seperti saya..
   
  saya sertakan resipi kek batik di bawah. mungkin resipi yang diperoleh daripada emak saya ini tidak sama dengan resipi kek batik yang lain tetapi selamat mencuba!

   1 packet milo
1 tin susu cair
1/2 buku buttercup
gula (secukup rasa)
1 biji telur ayam
serbuk koko atau milo
biskut marie perisa original


cara membuat:
1. cairkan buttercup ke dalam periuk
2. masukkan telur yang sudah dipukul, susu cair dan gula dan kacau berterusan
3. masukkan milo. dan teruskan kacau adunan.(kuantiti milo bergantung kepada individu)
4. apabila adunan sudah pekat tutup api dapur dan masukkan biskut marie dan kacau sebati.
5. masukkan adunan ke dalam bekas dan mampatkan. (jika biskut marie masih tenggelam tambah lagi biskut marie.
6. masukkan adunan tadi ke dalam peti ais kira-kira 2-3 jam.

peringatan!!
    ~jangan masukkan biskut marie terlalu banyak kerana kelak kek batik anda akan menjadi keras.
    sebenarnya petua emak saya untuk membuat kek batik adalah "pakai agak-agak" sahaja. mak cakap kalau cair tambah biskut, kalau keras tambah susu. jadi sukatan yang saya beri di atas juga adalah anggaran secara kasar, jadi jangan takut untuk menokok tambah dalam resipi ini ya.. :)

27.9.11

SANGAT MEMBAKAR SEMANGAT :)

    Bismillahirrahmanirrahim....saya kira sudah beberapa hari saya tidak menulis di dalam blog ini..sebenarnya masa sangat membataskan aktiviti-aktiviti saya. tetapi, bukankah kita yang perlu mengejar masa dan bukan masa yang mengejar kita?

   Lalu hari ini saya melapangkan masa saya untuk menulis walaupun tidak banyak yang ingin dikata. hari ini, kuliah yang perlu saya hadiri hanya satu jam sahaja iaitu dari pukul 9-10 pagi. dan selepas kuliah tersebut, masih banyak masa lapang yang saya ada. namun masa lapang tersebut sangat singkat bagi saya.sebaik sahaja pulang dari kuliah terus sahaja saya menyiapkan tugasan yang diberikan kepada saya. biarpun tugasan tersebut tiada kena mengena dengan kuliah saya, namun tugasan itu juga adalah amanah yang harus saya pikul.

    Tepat pukul 3 petang, saya tinggalkan tugasan saya yang separuh siap itu kerana ingin menghadiri hari penuh bermakna sepupu saya. Hari Konvokesyen UKM yang ke-39. hati saya seakan tidak sabar untuk berjumpa kaum keluarga yang sedang menunggu di perkarangan masjid UKM. di mata saya kini hanyalah saudara-mara yang sudah hampir sebulan tidak berjumpa. dan wajah yang paling saya rindu iaitu anak saudara saya ADIB SUFIE ADHA. perjalanan saya dari kolej burhanudin helmi ke masjid terasa sangat lama tempohnya membuatkan saya berjalan dengan agak cepat dan adakala berlari-lari anak.betapa hebatnya penangan rindu saya kan.. :)
   
    Sebaik bertemu mereka, pelukan erat diberi, dan buat si comel pengarang hati saya, bertalu-talu kucupan buatnya.mulut comel si kecil yang akan menjangkau 3tahun pada disember ini lantas bertanya saya
" acik pi mana?awat tak dak tadi? mish u acik.."

    Alahai..tiada jawapan yang mampu saya beri. hanya senyuman terharu yang mampu dilukis.beberapa ketika menunggu di hadapan DECTAR, akhirnya insan yang ditunggu-tunggu keluar bersama jubah jingga dan topi segi empat bersama senyuman manis. ANIS SYUHADA! dialah sepupu saya yang paling rapat sejak kecil, dan sekarang sudah bergelar graduan dan bakal menjadi guru nanti. sejambak bunga yang sempat saya beli tadi dihadiahkan buatnya.

    Melihat kegembiraan sepupu saya menyambut hari konvokesyennya bersama keluarga termasuk suami tersayang..hati saya berdetik 'tak sabarnya nak konvo'

    Dan semangat saya seakan berkobar tiba-tiba. ya. semangat untuk belajar bersungguh-sungguh dan menamatkan pengajian saya dengan cemerlang seperti sepupu saya. semoga allah memudahkan segalanya..amin.. :)



ini sepupu saya..tengok, lebar senyumannya kan... :)

                                      


          dia bersama ibu dan ayah tersayang..( tak sabar nak buat mak saya
   bahagia macam ini nanti)


saya dan dia :)

                                                                     


dia dan suami (mereka masih pengantin baru :)


lagi bersemangat bila pakai jubah dan topi ni :)


inilah buah hati saya adib :)

20.9.11

SEMANIS PERSAHABATAN~

salam semua..saya kira hari ini adalah hari yang cukup indah..saya sendiri tidak tahu mengapa saya berfikiran sedemikian.mungkin kerana sebaik sahaja saya terjaga dari tidur, saya terus tersenyum. ya.sebenarnya itulah rahsia untuk menceriakan sepanjang hari anda.mudah.hanya mulakan hari anda dengan senyuman.tetapi hari ini saya merasakan keindahan hari saya berganda kerana saya menerima hadiah hari lahir dari salah seorang kawan rapat saya.sesuatu yang tidak dijangka kerana hari lahir saya sudah sebulan berlalu.9 ogos 1990 merupakan tarikh saya dilahirkan.dan saya menerima hadiah hari lahir pada 20 september 2011.terharu.itulah perasaan yang dapat digambarkan saat menerima hadiah tersebut.dan tidak disangka-sangka juga,hadiah tersebut berupa sebiji cawan beserta sudu kecil yang comel dan di sebelah cawan tersebut diselitkan 1 sachet minuman segera.lengkap bukan?akan tetapi saya masih belum sempat untuk menikmati minuman segera tersebut. belum sempat? sebenarnya kesempatan itu boleh dicari tetapi saya rasa saya masih belum terasa untuk menikmati minuman tersebut kerana saya masih belum puas melihat cawan, sudu dan bungkusan minuman tersebut yang terletak comel di dalam sebuah kotak bercorak bunga kecil. satu perkara lagi, meskipun saya belum tahu bagaimana rasa minuman itu, pahit, manis, tawar atau bermacam - macam rasa lagi, tetapi saya seperti sudah boleh meneka bagaimana rasanya minuman itu. pastinya manis. kerana persahabatan antara saya dan pemberi hadiah tersebut sangat manis. saya tidak pernah lupa. perkenalan kami bermula sewaktu menghadiri kuliah pertama di UKM iaitu kuliah pengantar persuratan melayu. dan selepas perkenalan tersebut, ukhuwah kami berlanjutan sehingga hari ini. persahabatan yang dijalin dengan begitu indah kerana Allah. persahabatan kami menjadi semakin indah semenjak kami bersama - sama mengiktiraf hubungan kami bukan sekadar persahabatan tetapi persaudaraan. begitulah betapa istimewanya jalinan ukhuwah kami. setiap hari, saya tidak pernah lupa untuk mendoakan persahabatan yang kami jalinkan diredhai Allah dan berkekalan hingga akhir ayat. dan hari ini, saya berharap minuman segera yang saya terima hari ini akan manis rasanya semanis persahabatan kami apabila saya minum nanti.buat teman - teman saya..hargailah sesebuah pertemuan kerana dengan pertemuan, akan terciptalah persahabatan.. :)



hadiah comel yang saya terima :) 



 saya sayang kawan-kawan saya.kamu semua akan menjadi
kenangan yang terindah dalam hidup saya

19.9.11

saya yang tidak sempurna...

    Dengan lafaz bismillah, saya mulakan penulisan hari ini..19 September 2011..hari yang agak sibuk bagi saya..bukanlah sibuk dengan kuliah kerana kuliah saya hari ini hanyalah satu sesi..tetapi sibuk menguruskan hal-hal lain. Pulang sahaja dari fakulti..masih sempat melihat status akaun facebook rakan-rakan walaupun penat. Salah satu status rakan yang menarik perhatian saya berbunyi "saya mencari yang sempurna sebagai teman hidup"
     Lantas saya terfikir, adakah hamba Allah yang sempurna di muka bumi ini? Saya sendiri mengakui bahawa saya juga tidaklah sempurna dan saya sangat sedar bahawa saya punya banyak kekurangan. Tetapi adakalanya saya cuba untuk menghasilkan sesuatu yang sempurna untuk orang lain. Kadangkala saya ingin orang melihat semua perkara yang saya lakukan adalah sempurna dan tiada sedikit pun kekhilafan. Lalu saya membuat kesimpulan mengenai status di akaun facebook rakan saya itu dari sudut yang positif iaitu dia bukanlah mencari seseorang yang sempurna tetapi mencari seseorang yang sukakan kesempurnaan :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...