Setiap warna itu memberi seribu erti kepada setiap orang..
dan warna yang sangat memberi erti kepada saya adalah UNGU!~

21.10.11

~saya tidak pernah suka memasak TETAPI..

     ini sudah seperti membuat pengakuan berani mati kan :)
ya. saya tidak pernah suka memasak, sebab saya tidak tahu memasak..(jangan gelakkan saya)

TETAPI...

tolong jangan membuat andaian bahawa emak saya tidak pernah mengajar saya untuk memasak. sebenarnya emak selalu mengajak saya ke dapur untuk mengajar saya memasak. cuma..saya yang tidak berminat..

TETAPI..

walaupun saya tidak pandai memasak..saya sebenarnya sangat berminat dalam bidang membuat kek..saya suka mencuba pelbagai resipi kek dan saya akan buatkan kek untuk orang-orang yang saya sayang..dan terima kasih juga kepada emak tersayang kerana tidak jemu mengajar dan memberi kritikan terhadap kek saya.

SAYA SUKA KEK COKLAT.

     ayat di atas adalah fakta. saya sangat sukakan coklat dan apa-apa sahaja yang berasaskan coklat. jadi resipi kek pertama yang saya belajar suatu ketika dahulu adalah kek coklat. teringat kali pertama saya membuat kek coklat.  kek saya menjadi mampat dan tidak lembab seperti yang sepatutnya.

TETAPI..

saya tidak berputus asa. saya cuba cuba dan mencuba lagi sampai kek coklat lembab saya menjadi :)
dan selepas saya lulus dalam bidang membuat kek ini, maka setiap tahun menjelang hari raya, saya mengambil alih tugas emak saya membuat kek yang ditempah oleh saudara-mara dan jiran tetangga.

TETAPI..

saya masih tidak lulus dalam membuat gula ising untuk hiasan kek..sudah beberapa kali mencuba namun masih tidak menjadi. tak mengapa..balik cuti raya haji nanti saya belajar lagi.. (:

kek coklat ini saya buat semasa raya puasa yang lalu..

yang ini kek raya puasa jugak..tapi moist kurang menjadi.. :)

saya teringin untuk buat kek coklat macam di secret recipe..
tapi belum menjadi.. =,="


18.10.11

petua memasak~~~>teknik kacau goreng


-> Kacau goreng adalah satu teknik masakan yang sangat popular di kalangan orang Asia terutamanya masyarakat Cina. Sebenarnya kacau goreng adalah menggoreng sambil mengacau-ngacau makanan dalam kuali dengan menggunakan api yang kuat.

-> Teknik ini boleh digunakan untuk memasak yang berasaskan daging, makanan laut, sayur nasi dan mi.
Kaedah ini dapat memelihara tekstur, rasa dan nutrisi makanan yang dimasak sekiranya ia dilakukan dengan teknik yang betul.

-> Oleh yang demikian seni masakan ini perlu dilakukan dengan pantas dan cekap kerana api yang kuat boleh menyebabkan makanan yang dikacau tidak masak sekata atau mungkin akan menjadi hangus.
Teknik kacau goreng sangat sesuai untuk dipraktikkan oleh golongan pelajar seperti saya dan rakan semua kerana makanan dapat disiapkan dengan cepat.

-> Jadi pada minggu ini mari kita mempelajari cara masakan ini. Pertama sekali sebaik-baiknya gunakan dapur bertekanan tinggi kerana hanya api yang kuat dan besar sahaja sesuai untuk teknik masakan ini. Kemudian anda perlu membeli kuali yang dalam dan luas. Sebenarnya saya di kolej hanya menggunakan rice cooker. Jadi tidak ada api yang kuat untuk memasak menggunakan teknik ini. JSebaik-baiknya kuali yang tidak mudah melekat supaya makanan yang dikacau mudah dikaup-balikkan semasa menggoreng. Jangan risau kerana teknik kacau goreng masih boleh dilakukan dengan menggunakan kuali biasa dan dapur gas yang ada di rumah. 

-> Bahan-bahan yang hendak digoreng perlulah dipotong dahulu supaya kerja-kerja memasak menjadi mudah dan tidak kelam-kabut untuk mencari bahan-bahan yang diperlukan ketika sedang memasak. Sekiranya baru hendak memotong sayur ketika menumis bawang saya khuatir bawang akan menjadi hangus sebelum anda sempat habis memotong sayur ataupun daging. Pastikan saiz semua bahan-bahan yang digoreng sama saiznya supaya ia masak dengan sekata.Jangan potong terlalu besar kerana teknik kacau goreng menggunakan api yang kuat dan cepat. Jadi saiz yang kecil akan cepat masak. 

-> Pastikan minyak dalam kuali betul-betul panas kemudian baru mula menumis bahan tumis seperti bawang supaya aroma yang enak dapat meresap ke dalam masakan yang dimasak.Sekiranya menggunakan daging, kacau goreng dulu daging sehingga ia masak kemudian baru diikuti dengan sayur. Masukkan sayur yang keras dahulu dan setelah sayur keras hampir empuk baru masukkan sayur yang lembut. Boleh letakkan sedikit air dan tutupkan kuali supaya sayur yang keras cepat masak. Letakkan sos seperti sos tiram, kicap cair dan apa-apa perisa yang anda suka ketika proses mengacau. selamat mencuba !

contoh masakan yang menggunaka teknik kacau goreng


     Sebenarnya semenjak mendapat tugasan untuk menulis blog dan cerpen mengenai masakan ini, hampir setiap kali saya menghubungi emak, saya akan bertanyakan tentang pelbagai resipi dan petua yang tentang masakan sehinggakan emak saya sendiri perasan perubahan saya ini. apabila diterangkan tujuannya, mak seperti menyindir saya. 

" nasib baik ada tugasan macam ni. boleh jugak ambil tahu pasal masak-masak ni. kalau tidak.."
   
 Saya hanya diam mendengar omelan emak. ya. diam kerana betul. kerana tugasan inilah saya semakin meminati bidang wajib bagi orang perempuan ini. terima kasih Dr Mawar :)

15.10.11

!!! MAKANAN EKSOTIK?? !!!

     selalu saya terbaca di akhbar tentang haiwan-haiwan yang ditangkap untuk dijadikan makanan eksotik.dan di sini saya ingin kongsikan salah satu haiwan yang dikatakan punya penawar untuk penyakit asma.






     gambar-gambar di atas adalah sup kelawar. di China, sup kelawar merupakan makanan kesihatan yang popular kerana dikatakan mampu merawat penyakit asma dan batuk kering. kelawar tersebut di masak sup seperti ayam dan dimakan bersama bubur.



~rasa sedih itu juga anugerah~

     rasanya sudah lama saya tidak menulis di dalam blog ini..jurnal masakan juga sudah lama tidak di masukkan dalam ruangan ini..sepanjang dua minggu ini saya sangat sibuk..berkejar ke sana sini untuk bermacam tugasan..tekanan..itu yang dirasai saat ini..dalam keadaan tertekan ini juga, masalah datang bertimpa-timpa. seakan tidak mampu untuk memikul semuanya..
    tapi..

  bila saya muhasabah diri..saya yakin saya mampu memikul semua ujian yang diberi Allah ini..bukankah Allah tidak akan memberi  ujian itu andai hambanya tidak mampu?
dan saya terfikir..bahawa rasa sedih itu juga satu anugerah daripada Dia. tatkala kita bersedih inilah kita lebih dekat denganNya..
semoga saya mampu selesaikan semuanya..hanya doa yang mampu saya lakukan saat ini.~

kadangkala saya perlukan air mata untuk hilangkan semua rasa sedih

4.10.11

~Peliknya Nama Kuih!~

    Selasa yang mendung. tetapi hati saya tidak semendung itu sebenarnya. hari ini cukup indah bagi saya. kenapa? tak perlu tahu.. :)

  Selepas pulang dari tutorial Sastera Hikayat petang tadi, saya berkunjung ke Pasar Malam Seksyen 1, Bangi bersama seorang teman. tiba di sana, timbul rasa pelik. dalam keadaan hujan begini, semua pengunjung di sana berjalan dari satu gerai ke satu gerai seperti tiada apa-apa berlaku. sedangkan saya sibuk merungut kepada teman kerana terlupa membawa payung.

    Dalam keadaan hujan renyai-renyai, kami juga turut berjalan dan sesekali menyelit di celahan orang ramai untuk melihat juadah yang menarik. teman saya ingin mencari otak-otak. katanya otak-otak di pasar malam ini enak. tetapi malangnya setelah berjalan ke setiap gerai di situ, kami tidak menjumpai otak-otak tersebut. wajah teman saya sedikit hampa tetapi tetap tersenyum. tiada rezeki katanya.

    Akhirnya kami memilih untuk membeli nasi kerabu sebagai juadah malam ini. dan setelah itu kami berjalan lagi untuk melihat barangan lain yang dijual. tetapi apa yang saya dapat lihat, gerai barangan lain seperti pakaian dan aksesori yang dijual di pasar malam itu tidak sebanyak gerai makanan. dari bahagian depan pasar malam itu sehinggalah ke bahagian belakang, saya hanya dapat lihat pelbagai jenis makanan. ada juga sesetengah makanan yang saya tidak pernah mendengar namanya, apatah lagi merasanya. ada ketika saya ketawa apabila mendengar nama-nama makanan tersebut. "Kuih Lompat Tikam" antara nama makanan yang menjadi bahan ketawa saya tadi.

    Sebelum pulang, kami membeli sejenis kuih yang namanya saya tahu kerana kuih itu antara kegemaran saya. tetapi, apabila saya menyebut nama kuih tersebut, teman saya pula yang ketawa. katanya saya salah kuih. dan kami sempat bertekak di hadapan gerai tersebut hanya kerana nama kuih. seperti yang saya tahu, kuih tersebut namanya "mata kerbau" tetapi menurut teman saya nama kuih itu "Puteri Dua Sebilik". mungkin lain tempat lain namanya. di negeri Kedah, memang kuih tersebut dipanggil "Mata Kerbau". ya. mungkin di negeri kelahiran teman saya iaitu Kelantan, mereka menamakan kuih tersebut sebegitu.

    Sepanjang perjalanan pulang ke UKM, saya masih memikirkan tentang nama-nama kuih yang ada tadi. timbul persoalan, mengapa kuih-kuih itu mendapat nama yang sedimikian? "kuih tahi itik", "kuih telur katak" dan sebagainya. lucunya nama-nama itu kan. :)


nasi kerabu dan ayam masak sambal



Kuih Mata Kerbau atau Kuih Puteri Dua Sebilik



 

1.10.11

makan malam yang berkhasiat~

    Hari minggu tiba lagi! semenjak melangkah ke semester baru di ukm ini, saya sangat menantikan tibanya hari minggu. kerana setiap hujung minggu saya dan teman-teman akan memasak sendiri.. :)
   
    Sebenarnya memasak ini sudah menjadi hobi baru saya semester ini. ternyata hobi ini bukanlah wujud sendiri tetapi timbul kerana dirangsang oleh minda saya sendiri. dan terima kasih kepada pensyarah penulisan kreatif saya Dr Mawar kerana memberi inspirasi kepada saya untuk menyukai bidang masakan yang sebelum ini tidak pernah saya gemari. jika bukan kerana tugasan menghasilkan blog dan cerpen bertemakan masakan ini, saya kira saya masih seperti dulu. yang tidak suka memasak dan tidak pernah mahu ambil tahu nama-nama masakan yang saya jamah.
   
    Saya dan teman sudah merancang untuk keluar membeli bahan memasak sejak semalam lagi namun pagi ini saya tidak dapat ikut serta untuk membeli-belah kerana kurang sihat. pada mulanya kami merancang untuk memasak juadah makan tengah hari, tetapi disebabkan dua teman saya terlewat bertolak ke pekan kajang, kami memutuskan untuk memasak juadah makan malam sahaja.
   
    Selepas manghrib, kami mulakan sesi memasak. ringkas sahaja menu kami malam ini.sup brokoli bebola ikan. bahannya hanya sayur brokoli, bebola ikan dan perencah sup sayur.

    Cara untuk memasak sup brokoli ini juga sangat mudah. bak kata emak saya "campak-campak" sahaja. walaupun ringkas, ternyata juadah makan malam kami sebentar tadi sangat menyelerakan. :)

sup brokoli dan bebola ikan

    Saya baru menyedari bahawa aktiviti memasak adalah sesuatu yang menyeronokkan. sebelum ini, saya hanya menganggap memasak itu melecehkan. dan sebenarnya saya tidak sabar-sabar untuk pulang ke kampung dan menuntut ilmu memasak daripada emak saya..:)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...