Setiap warna itu memberi seribu erti kepada setiap orang..
dan warna yang sangat memberi erti kepada saya adalah UNGU!~

13.1.12

Cerpen Untuk Dr Misran (Bahagian Akhir)

Aku membelek cincin belah rotan di dalam bekas berbentuk hati tersebut. Hatiku berbolak-balik. Tidak keruan. Setelah empat tahun aku menamatkan pengajian di universiti, ini adalah kali keempat diriku dilamar. Tiga lamaran sebelum ini aku tolak setelah menilai sikap lelaki yang ingin memperisterikan aku. Masih segar diingatan, saat aku berada di tahun akhir pengajian, umi menghubungiku dan menyampaikan berita seorang pelajar tahun akhir sebuah universiti di Timur Tengah datang merisik. Kata umi, orangnya dari keturunan baik-baik, bapanya seorang guru agama di sebuah sekolah tahfiz. Aku yang ketika itu sedang buntu, hanya mampu berserah kepada Yang Esa. Aku melakukan solat istikharah, memohon agar Allah tunjukkan apakah lelaki ini adalah jodohku. Alhamdulillah, Allah membantu aku. Seminggu selepas itu, aku mendapat panggilan dari seseorang yang tidak dikenali. Kata-katanya penuh dengan pujian terhadapku dan disulami juga kata-kata romantis. Pemanggil itu mengaku bahawa dia adalah Ziyyad, lelaki yang merisikku. Katanya, dia mendapat nombor telefonku dari seorang kenalanku. Ketika itu juga, aku sudah punya keputusan terhadap lamarannya. Aku terangkan kepada abah dan umi, seorang lelaki yang ikhlas dan zuhud akan bersabar dan akan mengawal dirinya dari menghubungi seorang wanita yang bukan muhrimnya kecuali mempunyai tujuan di jalan Allah. Tetapi lelaki ini seolah cuba menggoda hatiku dengan kata-kata cintanya. Alhamdulillah, abah dan umi menerima alasanku.
     
     Lamaran kedua dan ketiga juga aku tolak setelah mendapat petunjuk bahawa mereka bukanlah jodohku. Aku akui, semua lelaki yang melamarku adalah seorang yang sempurna di mata orang, termasuk ibu bapaku. Lelaki kedua contohnya, seorang pensyarah di sebuah universiti. Tetapi aku tidak dapat menerima caranya yang seringkali mengirimkan pesanan ringkas seolah-olah mendesakku menerima lamarannya. Lelaki ketiga pula seorang guru agama di sebuah pusat pemulihan akhlak. Umi seolah cuba melakukan provokasi dengan mengatakan lelaki ini seorang yang kacak dan baik budi pekerti. Aku juga hampir termakan sogokan umi apabila tidak menerima sebarang pesanan ringkas mahupun panggilan daripada lelaki tersebut selepas tiga minggu lamarannya tiba. Namun aku bersyukur, di saat aku ingin membulatkan keputusanku menerima lamaran tersebut, Allah memberiku petunjuk. Tanpa kuduga, lelaki bernama Adam itu mengunjungiku di universiti tempat aku bekerja. Katanya dia sengaja singgah ke tempat kerjaku untuk bertanya mengenai lamarannya tempoh hari. Lantas kukatakan bahawa aku terpaksa menolak lamarannya. Aku tahu abah dan umi sedikit kecewa dengan keputusanku. Namun, aku punya prinsip sendiri. Bukankan dalam Islam sendiri mengatakan bahawa jika seorang lelaki ingin menikahi seorang wanita, maka lelaki tersebut harus menggunakan perantara atau orang tengah untuk berbincang? Namun ketiga-tiga lelaki yang ingin menjadi suamiku ini tidak menggunakan orang tengah untuk menghubungiku. 

     “Aina, umi harap Aina tidak tolak lamaran kali ini, ya. Abah dan umi rapat benar dengan keluarga mereka ni. Kami kenal semasa sama-sama mengerjakan haji dua tahun lalu. orang tuanya baik, pasti anak mereka juga baik.”
Kata-kata pujukan umi mematikan lamunanku. Aku hanya tersenyum memandang umi.
“Insyaallah umi, kalau sudah tersurat lelaki ini jodoh Aina, pasti Aina terima.tapi beri Aina sedikit waktu ya, umi.”

     Tiga minggu berlalu. Aku tidak pernah berhenti melakukan istikharah untuk meminta petunjukNya. Hatiku lapang sepanjang tiga minggu ini. Lelaki yang melamarku juga langsung tidak menghubungiku. Aku seperti dapat merasakan bahawa dialah bakal khalifah hidupku. Malam itu, selepas melakukan solat tahajud beserta istikharah seperti kebiasaannya, aku mendapat mimpi yang aneh. Aku berpakaian serba putih sedang duduk bersimpuh dan memegang sebentuk cincin. Subhanallah, mungkin Allah sudah memberiku alamat tentang jodohku. Keesokannya aku mendapat panggilan dari seorang wanita yang mengaku kakak kepada lelaki yang melamarku. Aku tersenyum saat kakaknya bertanyakan jawapan lamaran mereka tempoh hari, lalu aku katakan jawapan sudah ada pada orang tuaku.

     Seminggu selepas itu, aku sah menjadi tunangan orang. Tetapi aku dan tunangku itu langsung tidak pernah bersua. Ya, semasa hari pertunanganku tempoh hari, lelaki itu turut hadir, tetapi semasa aku dibawa keluar untuk disarungkan cincin, aku hanya tunduk dan langsung tidak memandangnya. Aku teramat malu. Sebaik sahaja cincin disarungkan, terus sahaja aku berlalu ke bilik. Sepanjang tempoh pertunangan juga, tunanganku langsung tidak menghubungiku. Aku tidak kecewa malah selesa dengan keadaan sebegitu. Malah bagiku, ikatan sebagai tunang bukanlah tiket untuk menghalalkan hubungan kami termasuk hubungan hati.


     Hari bersejarah buatku tiba dua bulan selepas itu. Hatiku berdebar-debar, menanti saat aku disahkan menjadi seorang isteri kepada seorang lelaki yang langsung tidak ku kenali. Aku hanya mendengar khutbah nikah yang disampaikan oleh jurunikah di balik langsir masjid. Apabila kain langsir di tengah-tengah ruang masjid itu sedikit tersingkap, aku dapat melihat bakal suamiku dari arah belakang. Hatiku semakin berdegup kencang.
   “Muhammad Zuhdi Bin Ahmad Nasir, aku nikahkan dikau dengan Aina Wafiyah Binti Halim dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai.”

     “Saya terima nikahnya Aina Wafiyah Binti Halim dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai.”
Aku tersentak mendengar akad ijab dan kabul tersebut. Nama yang disebut juru nikah tadi seperti amat dekat denganku. Tetapi dengan suasana sebegitu, aku tidak dapat berfikir dengan jelas. 

     “Aina, hulur tangan kamu tu. Suami kamu nak sarung cincin.” Aku tersentak mendengar bisikan Mak Uda. Lantas kuhulurkan jari. Hatiku berdegup laju saat tangan kasar  itu menyentuh jemariku. Aku hanya menunduk. Air mata yang ku tahan dari tadi seakan sudah penuh di empangannya.

“ Dah tak nak pandang abang ke?”

     Aku terus mendongak mendengar bait kata tersebut. Air mata terus mengalir sebaik melihat wajah tersebut. Zuhdi! Ya. Zuhdi yang dulunya meninggalkan aku kerana Allah, kini kembali kepadaku, juga kerana Allah. Ya Allah, besarnya kekuasaanmu, Ya Allah! Aku memejamkan mata saat dahiku dikucup suami tercinta. Rasa bahagia menyelinap ke segenap ruang tubuhku. Syukur padamu Ya Allah.

    “Abang, Fiy macam tak percaya yang Fiy dah jadi isteri abang. Lima tahun kita tak berjumpa, tak berhubung, tapi sekarang abang dah jadi suami Fiy.”  Aku merenungnya.

    “Sayang, ni semua kuasa Allah. Abang pun tak tahu yang gadis yang emak pinangkan untuk abang hari tu adalah Fiy. Cuma emak bagitahu abang yang calon menantunya bernama Aina, cantik dan ada ilmu agama. Abang terima je siapa yang akan jadi isteri abang asalkan ada agama.”

    Aku tersenyum mendengar jawapannya. Aku juga ikhlas menerimanya dahulu kerana agamanya walaupun aku tidak kenal siapa bakal suamiku ketika itu. Ternyata Allah itu Maha Kuasa. Dia kembalikan Zuhdi kepadaku dengan cara yang hebat. Lima tahun aku berjaya melupakannya, juga berjaya mengikis cintaku kepadanya. Namun hari ini, Allah datangkan kembali rasa cinta itu tetapi cinta yang lebih agung iaitu cinta seorang isteri kepada suaminya. Subhanallah! Sesungguhnya dialah pemilik hatiku setelah Allah dan Rasul.

Muhammad Zuhdi
Cinta antara aku dan isterikuku Wafiyah kini seperti cinta antara dua orang insan yang baru berkenalan sedangkan dahulunya kami pernah menyulam cinta bersama. Ternyata Allah kurniakan cinta yang baru kepada kami malah lebih nikmat daripada rasa cinta lima tahun dahulu yang punya segala batas dan sempadan. Benar kata Ustaz Muammar dahulu, andai benar dia adalah jodohku, pasti dia menjadi milikku.
Aku tersenyum mengenang saat ibuku beria-ia menyuruhku pulang melihat gambar gadis yang ingin dipinangya buatku. Katanya gadis itu manis, bertudung litup, bicaranya sopan. Namun aku tidak pulang ke kampung. Bagiku jika molek dimata emak, maka molek juga dimataku. Pada hari pertunangan kami juga aku tidak berpeluang melihat calon isteriku kerana dia hanya menunduk. Aku pula hanya menjeling sedikit dan tidak pula merenung gadis itu dalam masa yang lama kerana takut orang sekelilingku manaruh curiga. Tambahan pula aku teramat malu ketika itu. Sepanjang tempoh bertunang juga aku memberi ruang kepada dia dan diri aku sendiri untuk mempersiapkan diri untuk menempuh alam perkahwinan. Segala urusan pernikahan aku serahkan kepada keluarga kerana aku sedang sibuk menguruskan kes di mahkamah ketika itu. Aku hanya mendapat tahu bahawa calon isteriku adalah Wafiyah setelah pulang seminggu sebelum majlis pernikahan melalui gambar yang ada dalam simpanan emak. 
“Abang, jomla masuk. Sejukla duduk lama-lama kat luar ni.” Aku tersenyum mendengar suara isteri kesayanganku. Aku renung matanya yang bersinar. Nyata aku dapat melihat keikhlasan dalam matanya. Syukur Ya Allah, sesungguhnya dialah pemilik tulang rusuk kiriku selama ini.


2 comments:

  1. woo... ok.. TerVAEK la neeya.. sukeee.. sgt2... hehehe

    ReplyDelete
  2. hehe tankz... percubaan pertaman buat cerpen islamik cket :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...