Setiap warna itu memberi seribu erti kepada setiap orang..
dan warna yang sangat memberi erti kepada saya adalah UNGU!~

4.10.11

~Peliknya Nama Kuih!~

    Selasa yang mendung. tetapi hati saya tidak semendung itu sebenarnya. hari ini cukup indah bagi saya. kenapa? tak perlu tahu.. :)

  Selepas pulang dari tutorial Sastera Hikayat petang tadi, saya berkunjung ke Pasar Malam Seksyen 1, Bangi bersama seorang teman. tiba di sana, timbul rasa pelik. dalam keadaan hujan begini, semua pengunjung di sana berjalan dari satu gerai ke satu gerai seperti tiada apa-apa berlaku. sedangkan saya sibuk merungut kepada teman kerana terlupa membawa payung.

    Dalam keadaan hujan renyai-renyai, kami juga turut berjalan dan sesekali menyelit di celahan orang ramai untuk melihat juadah yang menarik. teman saya ingin mencari otak-otak. katanya otak-otak di pasar malam ini enak. tetapi malangnya setelah berjalan ke setiap gerai di situ, kami tidak menjumpai otak-otak tersebut. wajah teman saya sedikit hampa tetapi tetap tersenyum. tiada rezeki katanya.

    Akhirnya kami memilih untuk membeli nasi kerabu sebagai juadah malam ini. dan setelah itu kami berjalan lagi untuk melihat barangan lain yang dijual. tetapi apa yang saya dapat lihat, gerai barangan lain seperti pakaian dan aksesori yang dijual di pasar malam itu tidak sebanyak gerai makanan. dari bahagian depan pasar malam itu sehinggalah ke bahagian belakang, saya hanya dapat lihat pelbagai jenis makanan. ada juga sesetengah makanan yang saya tidak pernah mendengar namanya, apatah lagi merasanya. ada ketika saya ketawa apabila mendengar nama-nama makanan tersebut. "Kuih Lompat Tikam" antara nama makanan yang menjadi bahan ketawa saya tadi.

    Sebelum pulang, kami membeli sejenis kuih yang namanya saya tahu kerana kuih itu antara kegemaran saya. tetapi, apabila saya menyebut nama kuih tersebut, teman saya pula yang ketawa. katanya saya salah kuih. dan kami sempat bertekak di hadapan gerai tersebut hanya kerana nama kuih. seperti yang saya tahu, kuih tersebut namanya "mata kerbau" tetapi menurut teman saya nama kuih itu "Puteri Dua Sebilik". mungkin lain tempat lain namanya. di negeri Kedah, memang kuih tersebut dipanggil "Mata Kerbau". ya. mungkin di negeri kelahiran teman saya iaitu Kelantan, mereka menamakan kuih tersebut sebegitu.

    Sepanjang perjalanan pulang ke UKM, saya masih memikirkan tentang nama-nama kuih yang ada tadi. timbul persoalan, mengapa kuih-kuih itu mendapat nama yang sedimikian? "kuih tahi itik", "kuih telur katak" dan sebagainya. lucunya nama-nama itu kan. :)


nasi kerabu dan ayam masak sambal



Kuih Mata Kerbau atau Kuih Puteri Dua Sebilik



 

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...