Setiap warna itu memberi seribu erti kepada setiap orang..
dan warna yang sangat memberi erti kepada saya adalah UNGU!~

20.12.11

Cerpen Untuk Dr Misran (Bahagian 2)

"Kamu Pemilik Hati Setelah Allah Dan Rasul"


Aina Wafiyah
Pesanan ringkas itu aku baca berkali-kali. Bersama air mata yang mengalir laju, aku menggeleng kepala tanda tidak percaya. Tangisanku mula menjadi esakan yang kuat. Sampai hati Zuhdi! Ahh, lelaki itu seperti sengaja ingin memainkan perasaanku! Aku terduduk di atas katil dan terus menangis. Ya. Wanita lemah seperti aku, apa lagi yang dapat dilakukan selain menangis? Gambar Zuhdi di atas meja kecil di sisi katil aku capai. Aku menatap gambar Zuhdi yang sedang tersenyum mesra. Pedihnya hatiku hanya tuhan yang tahu. Zuhdi, seorang lelaki budiman yang pertama kali berjaya mencuri hatiku. Perkenalanku dengannya bermula ketika aku menjejakkan kaki ke Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu ketika menyertai Hari Interaksi bersama Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam. Ketika itu, Zuhdi yang juga presiden persatuan mengimamkan solat maghrib kami dan setelah itu menyampaikan kuliah maghrib yang aku kira amat memberi kesan. Cara penyampaiannya yang penuh keyakinan dan disertakan dengan hadis-hadis Nabi itu amat memukau sesiapa sahaja yang mendengar.
      Ketika itu, aku tidak langsung terfikir bahawa dia akan menjadi kekasihku seperti sekarang. Hubungan kami mulai rapat selepas program tersebut. Kebetulan pula dia juga merupakan seniorku dalam jurusan Undang-Undang Syariah. Bermula dengan hubungan sebagai senior dan junior, kami mulai serasi dan lama-kelamaan menjadi pasangan kekasih. Namun sepanjang menjalinkan hubungan, Zuhdi selalu mengingatkan aku akan batas-batas aurat antara kami. Walaupun sering bertemu berduaan namun tidak pernah sekali kami bersentuhan. Ya. Dia memang seorang lelaki soleh yang budiman. Aku sangat mengharapkan untuk menjadi suri hidupnya suatu hari nanti.
      Namun, hari ini, Zuhdi, lelaki pertama yang aku jatuh cinta itu telah memusnahkan segala impianku selama ini. Pesanan ringkasnya yang panjang lebar sebentar tadi sudah merenggut segala rasa aku ketika ini. Zuhdi ingin memutuskan hubungan kami! Aku teresak lagi. Aku pandang semula bait-bait kata dalam pesanan ringkas Zuhdi. Mataku terasa kabur dengan air mata.
      Assalamualaikum.. Fiy, terlebih dahulu saya ingin memohon seribu kemaafan andai apa yang bakal saya luahkan ini akan mengguris perasaan awak. Sebenarnya berat buat saya untuk membuat keputusan ini, Fiy. Namun, percayalah, saya melakukan ini kerana saya sayang akan awak dan tidak mahu awak terus berdosa kerana mengulit rasa kasih buat saya yang bukan muhrim awak. Demi Allah, saya amat menyayangi awak. Tetapi saya alpa, Fiy. Saya terlupa bahawa saya tidak boleh menyayangi seorang wanita yang bukan isteri saya. Wafiyah, mulai saat ini, saya akan cuba lupakan perasaan saya terhadap awak dan saya berharap awak juga akan melupakan rasa cinta awak terhadap saya. Bukankah bercinta sebelum nikah itu perkara dilarang, Wafiyah? Jadi, cukuplah hubungan kita setakat ini. Insyaallah. Andai awak pemilik tulang rusuk kiri saya yang hilang, maka kita akan bersama nanti dalam hubungan yang diredhai. Salam maaf dari saya..Zuhdi.
      Aku memejamkan mata buat seketika. Cuba menenangkan perasaan. Jalinan cintaku bersama Zuhdi selama ini adalah perkara terlarang? Masyaallah. Aku bangun mengambil wuduk lalu berserah diri kepada Yang Esa.
      Hatiku sedikit tenang setelah bersolat dan merintih kepada Allah sebentar tadi. Allah seolah-olah memberiku petunjuk bahawa aku tidak harus bersedih menangisi nasib diri yang kehilangan kekasih hati. Aku bagaikan baru tersedar bahawa selama ini aku sememangnya sering terleka dengan mainan perasaan terhadap seorang lelaki bernama Zuhdi. Ya. Aku masih menjaga kehormatanku selama ini namun aku akui, kadangkala hatiku melayang mengenangkan kekasih hati. Kadangkala aku dan Zuhdi berbalas bait cinta melalui pesanan ringkas dan adakala kami saling meluah rasa kasih di dalam perbualan telefon. Aku beristighfar lagi apabila terkenangkan renungan mesra yang diberi Zuhdi ketika kami bertemu dahulu. Aku balas renungannya dengan senyuman manis dan tersipu.
      Benar kata Zuhdi. Andai jodohku dengannya kelak, pasti kami akan bersama. Aku nekad untuk cuba melupakan rasa cintaku terhadap Zuhdi. Semester ini merupakan semester terakhir untuk Zuhdi. Bermakna dua minggu lagi Zuhdi akan meninggalkan alam universiti yang penuh ranjau. Mungkin ini adalah saat yang sesuai untuk kami saling melupakan. Kami tidak akan bersua lagi selepas dua minggu ini. Alhamdulillah..seperti Allah memudahkan jalan bagiku yang punya hati yang lemah ini. Nombor telefon Zuhdi yang kusimpan di dalam telefon bimbit segera kupadam. Begitu juga dengan gambar-gambar Zuhdi yang berada dalam simpananku, aku masukkan ke dalam sebuah kotak lalu kutapekannya seolah-olah tidak mahu dibuka lagi.
      Aku berdoa kepada Allah agar membantu aku melupakan lelaki yang pernah menghuni hatiku sebelum ini. Aku berjanji kepada diriku sendiri, bahawa aku hanya akan memberi cinta dan hati ini kepada suamiku kelak. Insyaallah.

0 Pancaran Ungu:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...